Kalam Tarian Cinta

Basnah Anna Hassan

Nuralif & Nur Ariffin
Biar lorong berliku ku jejaki
Kasih ibu tidak pernah mati
Tulus dari lubuk hati nurani
Sebening jernihnya air di kali

Meski harus berkorban nyawa
Demi anak-anak yang tercinta
Setulus kasih pasti jua kurela
Agar kau menjadi insan mulia

Walau di mana jua kau berada
Doa ibu mengiringimu sentiasa
Usahlah lara bergundah gulana
Kalimah restuku bersulam cahaya

Meski jauh dari pandangan mata
Naluriku tidak lekang serta lupa
Berpisah hanya cuma sementara
Dalam sahutan bakti pada negara 

Wahai anak.......
Jadilah kau srikandi tercipta
Teguh mengharungi belantara
Tabah menyonsong samudera
Kau mampu mengenggam jaya

Kibarkanlah bendera kasih suci
Bersama rahmatnya cinta Ilahi
Keimananmu teguh tinggi berdiri
Bagai kasih ibu mengalir bersemi

(BUAT ANAKKU NURALIF DAN NUR ARIFFIN)


Basnah Anna Hassan
21/11/2014
Singapura

Categories:

Leave a Reply