Kalam Tarian Cinta

Basnah Anna Hassan



Wahai cintaku sayang......
Tanpamu aku dalam kerinduan
Seraut wajahmu menganggu di ingatan
Kemanisan senyumanmu sering kubayangkan
Sayangnya tangan kugapai tidak berkesampaian

Wahai cintaku sayang.......
Ku doakan mu dalam keceriaan
Tertawalah kau bersama kegembiraan
Jangan sesekali berduka dalam tangisan
Usah kau menghiba tika bersendirian

Wahai cintaku sayang......
Dewasalah kau penuh kesejahteraan
Bersama sihat naluri minda perasaan
Milikilah cangkir arca kebijaksaan
Hidupilah dian sinar pengharapan

Wahai cintaku sayang......
Melangkahlah maju lurus ke hadapan
Jangan terpesong di jalan kesesatan
Tabah dek terjahan panah rintangan
Beranilah menghadapi lembing dugaan

Wahai cintaku sayang......
Kukuhkanlah langkahmu di setiap perjalanan
Sabarlah menempuhi setiap cubaan
Usah tergelincir dari landasan keyakinan
Muga dirimu jauh dari buaian hasutan syaitan

Wahai cintaku sayang......
Kelahiranmu membuktikan kebesaran Tuhan
Dalam keajaiban hakikat sebuah kenyataan
Walau hanya enam bulan dalam kandungan
Mampu membesar dalam dunia kefanaan

Wahai cintaku sayang......
Meski dunia ini penuh kekejaman
Perpisahan kita tidak akan berpanjangan
Suatu waktu kita pasti akan dipersatukan
Dalam lingkaran suasana sebuah kedamaian

Wahai cintaku sayang......
Andai bersama kita tiada berkesempatan
Jadilah kau anak penyambung warisan
Meneruskan seni penulisan tika ku tinggalkan
Menerajui titian perjalanan ilmu kesusasteraan.

Categories:

Leave a Reply